TIDAK hanya menjual barangan dan pakaian sukan, Tahan Sports mara lebih berani apabila menjadi gedung pertama yang menjual pakaian dan kelengkapan khusus untuk para penyokong skuad bola sepak tempatan.

Tahan Sports yang berada di bawah bumbung Malakat Mall melakar rekod tersendiri kerana mengangkat Capo Apparel yang sebelum ini dijual secara dalam talian dan dijalanan ke pusat beli belah.

Pengasas Capo Apparel, Mohd. Ridzuan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lekir berkata, beliau berbesar hati apabila Pengasas Malakat Mall Coach Mohd Fadzil Hashim membuka peluang untuk beliau meletakkan produk Capo Apparel di Tahan Sports.

Menurutnya antara barangan yang akan dipasarkan di Tahan Sports termasuk pelbagai rekaan t-shirt, topi merah yang menjadi trademark kumpulan itu, mafla, dam sticker.

“Produk-produk yang dikeluarkan Capo Apparel adalah merupakan lambang kasih dan sokongan padu kami sebagai Ekor Harimau Malaya kepada skuad negara.

Kita ibarat pemain ‘ke-12’ dalam pasukan yang patut sokong pemain kita di mana jua mereka beraksi,”katanya.

Mohd. Ridzuan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Pengurus Tahan Sport, Mohd. Fuad Rahim sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn. Bhd., Mohd. Fadzil Hashim.

“Alhamdulillah dengan bimbingannya saya berada di sini dan terpanggil untuk mengubah konsep yang selama ini dijalankan untuk memasarkan di pusat beli belah.

Malah Coach Fadzil juga telah memberikan banyak idea untuk mengembangkan lagi Capo Apparel yang berada di pasaran sejak 2015 dan mengangkat peranan para penyokong di stadium, “katanya.

Lekir merupakan antara individu yang mewujudkan Ultras Malaya iaitu kumpulan penyokong setia pasukan Malaysia, terutama pasukan bola sepak kebangsaan.

Pada majlis sama, bekas kapten bola sepak Harimau Malaya, Safiq Rahim turut menandatangani MoU untuk memasarkan produk jenama sukan miliknya, Sportsrevo di Tahan Sports.~MBNews

Leave a Reply

Your email address will not be published.