CYBERJAYA – Desas-desus kononnya pengunjung dari  Putrajaya berdepan dengan kesukaran perkhidmatan pengangkutan ke hari pembukaan Malakat Mall pada 1 Mac nanti telah diambil kira oleh pihak pengurusannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall Sdn. Bhd., Mohd. Fadzil Hashim berkata, pihaknya bakal menyediakan perkhidmatan pengangkutan bagi penduduk di Putra Perdana yang berjumlah 70,000 orang seandainya ingin mengunjungi Malakat Mall apabila dibuka nanti.

Menurutnya, perkhidmatan itu beroperasi pada hari Sabtu dan Ahad bagi penduduk di Putra Perdana yang ingin ke Malakat Mall.

“Kita juga bercadang memperluaskan perkhidmatan itu di kawasan lain seperti di Dengkil dan Sepang jika terdapat permintaan,” katanya menjawab soalan pemberita sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara Malakat Mall dan Kumpulan Brainy Bunch bersama beberapa wakil perniagaan termasuk Alhijrah Media Corporation di Kompleks Brainy Bunch hari ini.

Mohd Fadzil berkata. bagi merancakkan operasi pusat membeli-belah itu, pihaknya turut membuka ruang di tingkat dua untuk Karnival Raya yang menempatkan lebih 100 usahawan kecil menjual pelbagai jenis barangan sempena Hari Raya Aidilfitri nanti.

Jelasnya, pembukaan awal Karnival Raya itu selama tiga bulan bagi memberi peluang kepada umat Islam membuat persiapan awal sebelum, semasa dan menjelang perayaan itu.

“Tawaran yang dikenakan kepada usahawan kecil ini amat rendah iaitu perlu membayar RM1,000 caj utiliti dan 10 peratus perkongsian pendapatan.

“Jumlah itu berbeza dengan tawaran pusat beli-belah lain yang mengenakan caj sehingga RM10,000 sebulan bagi ruang niaga berkeluasan lebar dan panjang tiga meter,” kongsinya lagi.

Mengulas mengenai penularan wabak covid-19, beliau memberitahu keadaan itu tidak menjejaskan pembukaan dan operasi Malakat Mall.

Bagaimanapun, pihaknya telah mengaktifkan pelan kecemasan supaya pembukaan Malakat Mall tidak tergendala.

“Doakan supaya Malakat Mall dibuka 1 Mac ini buat masa ini kerja-kerja menyiapkan beberapa outlet giat dijalankan dan kemungkinan tidak semua jenis perniagaan beroperasi di pusat beli-belah itu.

“Ia bukan pelancaran tetapi pembukaan 1 Mac ini. Mana-mana pusat beli-belah tidak akan beroperasi secara 100 peratus.

“Semua outlet dibuka secara berkala dan peluang masih terbuka bagi usahawan untuk membuka perniagaan di Malakat Mall,” katanya.~ MBNews

Leave a Reply

Your email address will not be published.