CYBERJAYA – Mana-mana agensi kerajaan yang ingin membuka kaunter perkhidmatan berpeluang berbuat demikian secara percuma.

Demikian pelawaan Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim yang mengajak agensi terlibat itu turut serta di pusat membeli belah yang bakal dibuka Mac nanti.

Menurutnya, tawaran itu dibuka kepada agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan kaunter kepada rakyat.

“Secara percuma itu bermaksud agensi kerajaan tidak perlu membayar sebarang sewa dan lebih menarik bekalan elektrik serta air juga tidak perlu dibayar.

“Kita khususkan tawaran ini kepada agensi yang menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, pihak berkenaan tidak perlu membayar sewa tetapi Malakat Mall akan menyediakan  ruang kepada mereka.

Jelasnya lagi, pihaknya akan menghantar surat tawaran kepada agensi kerajaan dalam dalam minggu ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, usaha itu antara  sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya.

Katanya lagi, lokasi tawaran bergantung kepada agensi kerajaan tersebut sendiri dan pihaknya bersedia memberikan ruang secukupnya.

“Jika keperluan mereka besar, kita akan berikan ruang yang besar. Malakat Mall tidak terikat dengan ruangan dalam sahaja kerana masih mempunyai banyak ruang di blok luar,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *