Lebih menarik, pengeluar produk penyokong sukan bola sepak yang terkenal dengan jolokan Ultras Malaya, Capo Apparel akan turut sama memeriahkan jualan produk sukan di Malakat Mall khusus untuk penyokong bola sepak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, menerusi kerjasama itu kedua-dua jenama sukan berkenaan akan diletakkan di dalam kedai sukan, Tahan Sports di Malakat Mall.

“Kita akan sediakan satu ruang untuk barangan Sportsrevo dan Capo Apparel di dalam Tahan Sports, sekarang kita dalam proses akhir menentukan susunan barangan dalam kedai tersebut.
“Sasaran kita ialah untuk Tahan Sports beroperasi pada 1 Mac ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd. Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Raudhah City Sdn. Bhd., menyaksikan majlis Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara lima syarikat yang bakal beroperasi di Malakat Mall di Cyberjaya di sini.
Syarikat yang terlibat ialah barangan peralatan sukan, Tahan Sports; Sportsrevo; Capo Apparel; salun dan pusat kecantikan wanita, Tun Teja dan pengeluar produk kecantikan tradisional, Safah Herbs.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil berkata, sebagai usaha untuk memperkenalkan lagi jenama Sportsrevo secara lebih luas, pihaknya menerusi pusat pendidikan tadika dan Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch akan menggunakan pakaian sukan jenama tersebut ketika sambutan Hari Sukan Brainy Bunch di seluruh negara.
“Selepas ini, saya akan meminta Capo Apparel milik Mohd. Ridzuan Ahmad atau Lekir untuk menghantar kertas kerja supaya satu program sistematik dapat dibuat bagi melahirkan lebih ramai ‘penghasut-penghasut’ penyokong sukan,” katanya.-MT
