CYBERJAYA – KoPPIM terus mengatur langkah strategik memeterai MOU dengan agensi pelancongan Islamik, Kembara Sufi Travel & Tours Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Fadzil Hashim berkata, kolaborasi tersebut adalah sebagai satu usaha drastik KoPPIM dalam mempercepatkan proses mencapai sasaran satu juta ahli dalam tempoh enam bulan yang telah ditetapkan.

“Kembara Sufi adalah sebuah syarikat pelancongan yang sangat berjaya.

“Kami difahamkan pendapatan tahunan 2019 mereka sudah mencecah RM50 juta,” katanya pada sidang media majlis Pra Perasmian Malakat Mall.

Menurutnya, perjanjian yang telah dipersetujui bersama itu dilihat sebagai satu kolaborasi strategik kerana kedua-dua pihak mampu menikmati manfaat dan kelebihan-kelebihan bersama.

“Semua ahli KoPPIM akan mendapat potongan harga istimewa bagi pakej-pakej pelancongan yang ditawarkan Kembara Sufi.

“Pada masa sama, pelanggan sedia ada mereka juga secara automatiknya layak menerima promosi yang ditawarkan oleh KoPPIM dan kalau boleh kita sasarkan semua pelanggannya menjadi ahli kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, satu gerakan rakyat yang besar amat diperlukan bagi mencapai sasaran satu juta ahli.

“Alhamdlullah, walaupun kita masih belum lancarkan sebarang kempen selepas ambil alih pengurusannya sejak dua bulan lalu, dari 30 ahli pada waktu itu, KoPPIM sekarang sudah memiliki 7,000 ahli.

“Sudah tentu kita akan usahakan sebaik mungkin untuk menjadikan hasrat satu juta ahli dapat dicapai sepenuhnya,” katanya. – MBN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *